Sunday 9 September 2012

Proses Pelaksanaan Pemulihan

Carta Alir Proses Program Pemulihan


Pencalonan murid pemulihan adalah proses utama kepada pemilihan calon untuk
ditempatkan di dalam program pemulihan. Pencalonan murid pemulihan boleh
dilakukan oleh :

1.Guru Kelas
Guru Kelas boleh mencalonkan murid-murid untuk mengikuti kelas berdasarkan
pencapaian murid dalam kemahiran menulis, membaca dan mengira, hasil kerja
murid dalam kelas, keputusan ujian bulanan, semester dan ujian setiap kemahiran.

2. Guru Mata Pelajaran
Guru mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik juga boleh mencalonkan
murid yang diajar oleh mereka untuk mengikuti kelas pemulihan berdasarkan
kepada pencapaian mereka. Apabila murid-murid ini lemah dan tidak menguasai
kemahiran yang disasarkan maka mereka layak untuk dicalonkan ke kelas
pemulihan.

3. Guru Besar
Guru Besar boleh mencadangkan murid-murid berdasarkan penelitian kad-kad
laporan murid dan pemerhatian secara am sama ada di sekolah atau di luar sekolah.

4. Ibu bapa / penjaga
Ibu bapa atau penjaga boleh mencalonkan anak-anak mereka untuk mengikuti
program pendidikan pemulihan khas berdasarkan masalah pembelajaran anak
mereka.

Proses Pengumpulan Maklumat
 

(a) Butir-butir individu dan prestasi murid akan menolong guru pemulihan
memahami murid yang dicalonkan. Ini akan membolehkan seorang guru pemulihan
membuat keputusan sama ada murid itu akan mengikuti program pemulihan atau
tidak.
(b) Daripada rekod individu, guru pemulihan dapat tahu tentang beberapa aspek
penting seperti kesihatan, taraf ekonomi keluarga dan kebudayaan di rumah yang
mungkin ada hubungan dengan kegagalan murid.
(c) Kemajuan akademik dapat menunjukkan prestasi murid dalam mata
pelajaran-mata pelajaran asas.
(d) Lain-lain sumber maklumat ialah :-
      (i) Guru Besar boleh campurtangan berdasarkan peninjauan rekod murid,
           pemerhatian dan perhubungan.
     (ii) Guru kelas boleh menambahkan maklumat dengan mengambil tahu
           berkenaan dengan kehadiran, ketepatan masa ke sekolah, kadar dan taraf
           kerja, kebiasaan-kebiasaan serta perhubungan dengan murid-murid lain.
    (iii) Ibu bapa boleh memberitahu tentang tingkah laku umum, kegemaran dan
           perkara-perkara yang ia tidak gemar serta sikapnya terhadap pelajaran.
    (iv) Borang rujukan yang boleh menunjukkan secara umum kelemahan-kelemahan murid.
(e) Borang Rujukan mengandungi:-
      (i) kemahiran asas membaca dan menulis
     (ii) kemahiran asas mengira
    (iii) tingkah laku di bilik darjah

 Proses Saringan

(a) Fungsi:
      Ujian saringan ialah satu instrumen pengukuran yang menyeluruh terhadap
kekuatan dan kelemahan dalam penguasaan kemahiran-kemahiran asas oleh
murid secara individu untuk dicalonkan bagi mengikuti Program Pemulihan
Khas. Ujian ini dapat mengesan murid-murid yang lemah dan memerlukan
bantuan pemulihan khas. Dengan lain perkataan Ujian Saringan bertujuan
untuk menentukan calon yang layak untuk dimasukkan ke program pemulihan
khas
      Bahan atau topik dalam Ujian Saringan merangkumi hanya kerja-kerja yang
telah diajar oleh guru kelas sehingga masa saringan diberikan. Oleh itu
senarai kemahiran yang diuji hendaklah ditentukan dan direkodkan dalam
Jadual Penentu Ujian.
      Ujian boleh dijalankan apabila pencalonan diterima. Selain itu ujian akan
dilaksanakan secara individu atau kumpulan kecil. Hasil daripada ujian akan
direkodkan dalam Borang Rekod Ujian untuk difailkan.
Bilangan murid yang diterima masuk ke kelas Pemulihan Khas berdasarkan
beberapa faktor seperti skor yang lemah, jenis masalah yang dihadapi oleh
murid dan ruang yang ada untuk Kelas Pemulihan Khas.
(b) Instrumen Ujian Saringan:
     (i) Instrumen Penentu Penguasaan 2M (IPP2M) - mata pelajaran
          Bahasa Malaysia
     (ii) (Arithmatics Screening Test)- Mathematics
Proses Diagnosis 

Ujian diagnostik adalah ujian yang terpenting dalam Program Pendidikan
Pemulihan Khas. Ujian ini digunakan untuk membantu guru pemulihan khas
mengesan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh setiap
murid.

(a) Fungsi:
Ujian Diagnostik wajib dijalankan dengan tujuan untuk membantu guru
pemulihan khas mengesan kawasan-kawasan kelemahan dan kekuatan yang
dihadapi oleh seseorang murid secara khusus dan seterusnya membentuk
objektif pengajaran (baseline). Ujian ini dibentuk bukan untuk menilai
peringkat pencapaian tetapi untuk mengesan masalah-masalah yang dialami
ketika belajar dan mengnal pasti punca kegagalan murid dalam menguasai
sesuatu kemahiran.

(b) Instrumen Ujian Diagnostik
Sebagai panduan untuk membina dan mentadbir Ujian Diagnostik, Guru
Pemulihan Khas boleh merujuk Buku Panduan Pelaksanaan Program
Pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M) terbitan Jabatan Pendidikan
Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia (2000). Di dalam buku panduan tersebut terdapat pelbagai kemahiran yang sedia digunakan untuk menguji tahap kelemahan murid yang terpilih untuk
mengikuti kelas pemulihan. Guru hanya perlu memilih dan merancang serta
membina ujian diagnostik yang benar-benar tepat serta mencapai kriteria
yang dikehendaki.

Analisa Ujian Diagnostik dan Pengamatan

Penganalisaan keputusan hendaklah dikumpul dan direkodkan dan diberi
interpretasi dengan cermat untuk mempastikan masalah-masalah murid. Keputusan
analisa ujian diagnostik akan menunjukkan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan
seseorang murid dalam menguasai sesuatu kemahiran. Cara ini dapat membantu
guru mengenal pasti kumpulan tertentu mengikut kebolehan dan daerah-daerah
kesukaran yang dihadapi.
Analisa kesalahan ujian tersebut juga dapat membantu guru merancang satu
program pengajaran yang khusus kepada seseorang individu atau kepada satu
kumpulan dengan lebih tepat dan sistematik. Berdasarkan kepada analisa kesalahan
ujian diagnostik tersebut, guru pemulihan akan dapat mengenal pasti daerah-daerah
kelemahan murid yang telah dipilih. Daerah-daerah kelemahan itu akan membantu
guru untuk memilih kemahiran yang tepat untuk memulakan proses pengajaran dan
pembelajaran.

Tindakan Susulan

        Murid yang telah dapat menguasai kemahiran yang telah dipulihkan akan
menjalankan kerja susulan yang dijalankan oleh guru kelas biasa dengan bantuan
dan kerjasama dari Guru Pemulihan Khas apabila perlu. Guru kelas, guru mata
pelajaran dan guru pemulihan perlu saling bekerjasama di antara satu sama lain
bagi mengukuhkan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid pemulihan.
Murid pemulihan yang berjaya menguasai kemahiran akan ditempatkan semula ke
kelas biasa untuk mengikuti proses pembelajaran seterusnya. Mereka akan sentiasa dipantau oleh guru pemulihan ketika berada di kelas biasa. Tujuannya ialah untuk melihat perkembangan pelajar tersebut disamping membantu guru di kelas
biasa dalam proses pngajaran mereka. Jika terdapat masalah terhadap murid
tersebut, maka guru pemulihan akan bertindak segera untuk menyelesaikannya.
Dalam meneguhkan kemahiran yang telah dikuasai murid, guru kelas, guru mata
pelajaran dan guru pemulihan perlu bekerjasama di antara satu sama lain. Mereka
mesti membuat perancangan yang bersesuaian untuk murid tersebut agar mereka
dapat mengikuti proses pembelajaran di dalam kelas biasa. Guru kelas dan mata
pelajaran hendaklah mengenal pasti strategi, kaedah dan pendekatan pengajaran
dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap kebolehan murid yang telah
dipulihkan.

Kesimpulan

Strategi pelaksanaan program pemulihan merupakan satu langkah yang penting ke
arah kejayaan sesuatu program pemulihan di sekolah-sekolah. Strategi
pelaksanaan program tersebut dapat membantu guru pemulihan untuk
melaksanakan program pemulihan dengan lebih berkesan. Selain daripada itu
strategi pelaksanaan perlu mantap bagi melahirkan ciri-ciri pemulihan yang berkesan
terhadap murid-murid yang gagal menguasai kemahiran menulis, membaca dan
mengira.






No comments:

Post a Comment